Monday, May 22, 2017

Penyakit Kulit Kronik

Doktor, jerawat saya ini bukan disebabkan resdungkah? Persoalan ini sering diajukan mereka yang mengalami masalah jerawat terutama yang agak teruk, malah ramai beranggapan jerawat adalah resdung atau disebabkan oleh resdung.

Bagaimanapun, jerawat dan resdung adalah dua perkara yang berbeza, namun kedua-duanya boleh hadir bersama.

Pakar jerawat dan jeragat Dr Hasseenah Hassan berkata, rawatan jerawat tidak boleh merawat resdung dan rawatan resdung juga tidak boleh merawat jerawat.

Katanya, rata-rata masyarakat mempunyai anggapan yang salah mengenai kaedah rawatan jerawat dan menganggap ia boleh dirawat menggunakan kaedah mengubati resdung.

“Jerawat ada pelbagai jenis dan ia berbeza antara satu sama lain termasuk jerawat disebabkan resdung. Membezakan antara jerawat dan resdung ini penting supaya pesakit lebih peka terhadap masalah jerawat sebenar yang mungkin melanda diri mereka, keluarga mahupun rakan.

“Seperti yang diketahui, jerawat dikategorikan sebagai penyakit kronik yang dihidapi hampir 80 peratus individu di negara kita,” katanya.

Menurutnya, jenis jerawat yang boleh dihidapi oleh golongan penghidap jerawat seperti berikut:

Akne vulgaris (jerawat biasa)

  1. Whitehead - belum dijangkiti kuman, tetapi terjadi kerana liang kulit tersumbat dengan sebum dan kulit mati, lalu menyebabkan liang atas tertutup dan perlu dirawat secara agresif.
  2. Blackhead - belum dijangkiti kuman, tetapi berbeza dengan whitehead di mana bahagian atas blackhead terbuka dan kehitaman disebabkan pengoksidaan udara. Tidak boleh dihilangkan menggunakan skrub muka kerana akan merosakkan lagi kulit muka.
  3. Papule - radang yang berlaku dalam liang dan kawasan sekeliling akibat jangkitan awal kuman.
  4. Pustule - radang yang berlaku akibat jangkitan kuman berterusan serta mengeluarkan nanah akibat dari jangkitan kuman.


Akne vulgaris (jerawat serius)

  1. Nodul - bonjolan jerawat yang lebih besar daripada jerawat biasa. Biasanya sakit jika dipegang dan tidak hilang dalam masa singkat. Kebiasaannya menyebabkan parut di muka atau berulang membentuk jerawat nodul ataupun jerawat batu.
  2. Sista - timbul akibat percantuman nodul yang berdekatan lalu menjadikan satu sista yang besar. Ia tidak boleh dipicit sama sekali dan memerlukan rawatan lanjut dari doktor untuk mendapatkan suntikan steroid bagi mengelakkannya meninggalkan kesan parut.


Akne rosasea

Rosasea sering dianggap sebagai satu jenis jerawat, tapi sebenarnya tidak dan cara merawatnya juga tidak sama seperti merawat jerawat. Ia tidak mempunyai bintik hitam dan hanya benjolan merah yang bernanah. Kebarangkalian untuk menghidap penyakit ini adalah wanita berusia 25 tahun ke atas sahaja.

Pioderma faciale folikulitis

Sejenis penyakit kulit yang sering disalah anggap sebagai jerawat. Ia adalah penyakit kulit yang disebabkan jangkitan bakteria pada kulit muka. Rawatannya juga tidak sama dengan rawatan bagi jerawat.

Kebanyakan orang juga sering menganggap jerawat berpunca daripada resdung. Ia tidak benar dan apa yang membezakan jerawat dengan resdung adalah:

Jerawat (akne):

- Sejenis penyakit kulit yang kronik.

- Tumbuh apabila liang kulit atau liang roma yang tersumbat dan memerangkap kotoran.

- Terjadi di dalam lapisan kulit.

- Boleh terjadi disebabkan ketidakseimbangan hormon, persekitaran dan tekanan.

- Tidak berjangkit dengan sentuhan dan boleh dihidapi secara turun-temurun.

Resdung (sinusitis):

- Radang yang berlaku pada lapisan rongga hidung.

- Berpunca daripada alahan (habuk, makanan, parasit) atau perubahan cuaca.

- Kesannya boleh mengakibatkan hidung berair serta kegatalan pada kulit muka dan mata.

- Jika serius, pesakit perlu menjalani pembedahan untuk membuang resdung yang menghalang laluan udara dalam rongga hidung dan turut menyebabkan sakit kepala dan mata yang teruk.

- Tidak boleh berjangkit melalui sentuhan dan boleh diwarisi secara turun-temurun.

- Boleh dihidapi bersama dengan lelah dan ekzema, sejenis penyakit kulit yang lain.

Justeru, Dr Hasseenah berkata, masalah jerawat yang dihadapi perlu dirujuk kepada pakar bagi mengenal pasti masalah sebenar yang dihadapi dan rawatan tepat dan bersesuaian dapat diberikan kepada pesakit.

“Penting untuk pesakit membezakan masalah kulit yang dihadapi sama ada disebabkan resdung atau jerawat kerana ini akan menentukan rawatan yang patut diambil,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/node/175294

No comments:

Post a Comment