Tuesday, May 23, 2017

Kosmetik guna bahan berbahaya masih dijual


MUKADIMAH

TIDAK dinafikan lambakan produk kecantikan dan kosmetik yang dijual di pasaran rata-rata berjaya menarik pelanggan apabila dikatakan mampu memberi kesan memberangsangkan seawal tiga hari.
Sebenarnya, tanpa mereka sedari produk yang menampakkan hasil dengan begitu cepat mengandungi bahan terlarang antaranya raksa, Hydroquinone dan Tretinoin bertujuan mempercepatkan proses tindak balas tersebut.

Akibatnya, untuk jangka masa panjang pengambilan produk dengan bahan terlarang bukan sahaja memudaratkan kulit, malah menyebabkan pelbagai alahan dan mengundang masalah kesihatan di kemudian hari.

Persoalannya, bagaimana produk-produk berkenaan masih dijual di pasaran, malah mudah didapati sedangkan sebahagian daripadanya tidak dibenarkan dijual oleh Kementerian Kesihatan. Ikuti laporan wartawan Utusan Malaysia, LILIS SURIANI OMAR yang mengupas isu tersebut.

KUALA LUMPUR 2 Mei; Walaupun diharamkan penjualannya oleh Kementerian Kesihatan kerana mengandungi bahan berbahaya, masih banyak kosmetik yang disenaraikan sebagai produk terlarang tetap berada di pasaran dan boleh dibeli dengan mudah di kios-kios atau secara dalam talian.

Produk berkenaan turut boleh didapati dan diiklankan menerusi blog ejen produk kecantikan.

Pemantauan Utusan Malaysia mendapati, daripada 22 produk kosmetik yang telah dibatalkan pendaftaran, tidak berdaftar dan tidak bernotifikasi dengan kementerian, sekurang-kurangnya 10 daripada­nya masih boleh dibeli seolah-olah tiada sekatan.

Walaupun tidak dapat dipastikan sama ada penjual terlibat bersekongkol dengan pengeluar untuk memasarkan produk berkenaan atau tidak mengetahui produk yang dijual mengandungi racun berjadual, pada dasarnya barangan itu tidak sepatutnya ditawarkan lagi kepada pengguna.

Wartawan Utusan Malaysia turut mela­kukan cubaan untuk membeli beberapa produk yang telah disenaraikan mengandungi bahan terlarang berdasarkan senarai yang dikeluarkan oleh pihak kementerian dan ter­nyata produk berkenaan masih boleh diperoleh.

Dengan memilih 10 daripada 22 produk yang dilarang, wartawan menghubungi pengedar menerusi aplikasi WhatsApp untuk membuat pesanan melalui nombor tertera dalam iklan di internet.

Proses memesan amat mudah iaitu penjual akan memberi maklumat dan selepas pembayaran dibuat, produk berkenaan akan dihantar melalui pos laju dalam tempoh dua hingga tiga hari bekerja.

Rata-rata blog kecantikan juga masih menjual, mengiklankan serta menjadi ejen jualan bagi produk berkenaan biarpun sudah diisytiharkan mengandungi bahan beracun.

Salah seorang ejen yang dihubungi memberitahu, produk yang dijualnya tidak boleh dibeli secara berasingan, sebaliknya didatangkan dalam satu set mengandungi pencuci muka, krim siang dan malam serta penyegar wajah yang ada di antaranya merupakan produk yang dilarang.

Ini membuatkan pengguna tidak mempunyai pilihan selain terpaksa membeli set yang ditawarkan untuk mendapatkan produk yang diingini menyebabkan mereka berisiko menggunakan produk yang dilarang itu.

Ada antara produk terlarang itu diiklan dan dijual menerusi tiga blog berbeza membuatkannya amat mudah diperoleh oleh pengguna.

http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kosmetik-guna-bahan-berbahaya-masih-dijual-1.307583

No comments:

Post a Comment