Wednesday, May 31, 2017

Untuk Kulit Sihat, Segar

Artikel ini saya dapati sangat bermunafaat dan sesuai dibaca oleh semua wanita. Saya sharekan diblog saya ini untuk bacaan anda semua.

5 Asas penjagaan wajah perlu filakukan setiap hari terutama jika kerap bermekap.


Jika ingin mendapatkan wajah yang sihat, bersih dan segar, rajin adalah faktor paling utama. Biarpun malas, jangan sesekali mengabaikan rutin asas penjagaan wajah untuk memastikan kulit sentiasa bersih terutama bagi individu yang gemar mengenakan alat solek.

Menurut perunding kecantikan bebas, Linda Sulaiman, terdapat lima asas penjagaan wajah yang perlu dilakukan setiap hari terutama jika kerap mengenakan mekap.

Antaranya mencuci, menyegar, melembap, membuang sel kulit mati dan melindungi daripada bahaya sinar matahari atau pencemaran.

Mencuci

“Mencuci ialah langkah paling penting untuk menghilangkan kotoran dan lebihan minyak yang terdapat di permukaan kulit.

“Ia perlu dilakukan sekurang-kurangnya dua kali sehari. Bagi kulit yang terlalu berminyak, boleh cuci lebih daripada dua kali. Penting untuk kita menggunakan pencuci yang sesuai dengan jenis kulit muka,” katanya.

Mengapa penting untuk menggunakan pencuci muka yang tidak bersabun dan mesti mengikut jenis kulit? Secara semula jadi terdapat lapisan sebum (minyak) yang dipanggil faktor pelembapan semula jadi (NMF) di atas permukaan kulit (epidermis).

NMF dihasilkan oleh kelenjar minyak yang terdapat di lapisan kedua kulit iaitu dermis. Fungsi NMF adalah untuk melindungi air yang terdapat di dalam lapisan epidermis daripada

tersejat keluar bagi mengelakkan kulit menjadi kering.

Pencuci muka yang bersabun mengandungi sodium laureth sulphate yang menyebabkan NMF hilang. Jenis kulit yang berbeza menghasilkan jumlah minyak yang berbeza. Penggunaan pencuci muka yang tidak sesuai dengan jenis kulit juga akan menyebabkan NMF hilang.

“Contohnya, orang yang berkulit kering menggunakan pencuci muka untuk kulit berminyak. Pencuci muka untuk kulit berminyak sudah dirumus untuk membuang lebihan minyak.

“Namun, kulit yang kering tidak mempunyai lebihan minyak. Justeru, pencuci muka berkenaan akan menghilangkan NMF yang ada dan kulit akan menjadi terlalu kering,” katanya.

Ujarnya, pembersih muka yang berbentuk losen, krim atau berasaskan minyak lebih berkesan untuk menanggalkan mekap daripada wajah berbanding pencuci yang berbentuk sabun.

Untuk bahagian mata dan bibir pula, seelok-eloknya bersihkan dengan pencuci khas solekan kerana kulit bahagian berkenaan lebih nipis berbanding kulit pipi.

Penggunaan pencuci muka biasa di bahagian ini akan menyebabkan kulit menjadi cepat kering dan garis halus mudah terbentuk.

Menyegar

“Menyegar ialah bilasan terakhir untuk memastikan tiada sisa kotoran dan sisa pencuci muka tertinggal pada kulit. Penyegar juga berfungsi mengetatkan liang pori kerana waktu mencuci muka, liang pori akan terbuka.

“Namun, fungsi penyegar yang paling penting ialah menyediakan kulit untuk menerima produk yang seterusnya dalam rangkaian penjagaan kulit seperti serum atau pelembap.

“Semua kebaikan yang terkandung di dalam serum atau pelembap dapat diserap ke dalam kulit secara optimum,” katanya.

Melembap

Pelembap mesti digunakan setiap kali selepas mencuci muka. Fungsi pelembap ialah memberi keseimbangan lembapan dan air kepada kulit.

Jika kulit dibiarkan tanpa pelembap, ia akan memberi reaksi yang tidak diingini. Kulit kering akan menjadi terlalu kering dan menyebabkannya cepat kedut.

Kulit berminyak pula akan menjadi terlalu berminyak dan menyebabkan jerawat mudah terjadi. Nisbah lembapan kulit yang ideal ialah 60 peratus air : 40 peratus minyak.

Walaupun kulit mempunyai NMF, ia mudah hilang. Antara penyebab utamanya ialah:

- Terdedah kepada cuaca panas

- Terdedah kepada pendingin hawa atau cuaca yang terlalu sejuk dan kering.

- Pencemaran udara

- Penggunaan pencuci muka yang tidak sesuai.

Justeru, fungsi pelembap adalah untuk menggantikan NMF yang hilang.

“Pelembap yang digunakan juga perlu mengikut jenis kulit. Jenis kulit yang berbeza memerlukan lembapan tambahan yang berbeza. Pelembap juga penting sebelum bermekap. Kulit yang cukup lembap akan menghasilkan mekap yang kelihatan lebih berseri serta tahan lama,” katanya.

Membuang sel kulit mati (pengelupasan)

Lapisan kulit yang paling atas (epidermis) terdiri daripda lima lapisan sel kulit. Sel kulit yang baru terbentuk di lapisan yang paling bawah dipanggil lapisan asas.

Dalam tempoh 28 hari, sel kulit daripada lapisan berkenaan akan bergerak ke atas, menjadi semakin leper dan akhirnya membentuk sel kulit mati.

Sel kulit mati menyebabkan permukaan kulit nampak kusam, tidak bermaya, ton tidak sekata, terasa kasar dan pori-pori besar serta tersumbat.

“Cara untuk menanggalkan sel kulit mati adalah dengan menggunakan topeng muka atau pupur. Penggunaannya, sebanyak sekali atau dua kali seminggu akan menanggalkan sel kulit mati secara lembut tanpa menipiskan kulit.

“Ia juga berfungsi untuk membersihkan kotoran dan lebihan minyak yang terkumpul serta menyumbat liang pori. Liang pori yang bersih akan menjadikan kulit lebih mudah bernafas dan segar.

“Pada masa sama, mekap juga akan kelihatan lebih berseri apabila tiada sel kulit mati berkumpul di atas kulit,” katanya.

Melindung

Kulit perlukan perlindungan daripada sinar UV, kotoran dan pencemaran persekitaran. Pengunaan krim tabir suria akan melindungi kulit daripada terbakar akibat sinar UVB dan menghalang penuaan akibat sinar UVA.

Penuaan kulit akibat UVA ialah kulit berjeragat, ada garisan halus dan menjadi kusam serta kasar. Penggunaan bedak asas pula bukan hanya berfungsi sebagai asas solekan dan menjadikan kulit nampak sekata saja.

Malah, ia juga berfungsi sebagai lapisan untuk menghalang habuk dan kotoran daripada terus melekat pada kulit. Selain penjagaan wajah yang asas, wanita juga perlu bijak memilih alat solek yang sesuai dengan kulit selain mempunyai ciri-ciri yang baik.

“Ciri-ciri mekap yang baik, ia mesti berasaskan mineral dan bahan semula jadi. Mekap yang begini lebih ringan dan selesa dipakai walaupun untuk jangka masa yang panjang.

“Ia tidak menutup liang pori sekali gus menjadikan kulit boleh bernafas dan tidak menyebabkan pori tersumbat,” katanya.

Warna yang terhasil daripada pemakaian alat solek yang berasaskan mineral lebih mesra dengan kulit dan menjadikan wajah tampak berseri.

Bahan semula jadi yang digunakan untuk alat mekap akan membantu melindungi dan tidak mengeringkan kulit. Antara bahan semula jadi yang digunakan untuk menghasilkan alat solek ialah minyak biji bunga matahari, mentega shea dan jojoba.

Artikel ini telah disiarkan pada : Khamis, 3 November 2016 @ 12:49 PM di hmetro.com.my.


No comments:

Post a Comment