Monday, May 22, 2017

Produk Sesuai Elak Mudarat

Lambakan produk penjagaan wajah di pasaran ada kalanya membuatkan sesetengah daripada kita keliru memilih yang terbaik untuk kulit sendiri apatah lagi jika disogokkan dengan manfaat yang diberikan kepada kulit muka.

Namun, bukan semua produk penjagaan kulit wajah yang ditampilkan jenama dalam dan luar negara itu berkesan memperbaiki atau mengekalkan tahap kesihatan serta kehalusan kulit muka jika dipakai tanpa menitikberatkan beberapa perkara penting.

Bagi memastikan produk yang dipilih bersesuaian, kita perlu tahu jenis dan keadaan kulit yang dimiliki agar tidak memudaratkan kulit dalam jangka masa panjang.

Pilih produk sesuai

Perunding Kecantikan Bebas Mary Kay Haslinda Sulaiman berkata, ada dua faktor yang perlu diambil perhatian ketika memilih produk penjagaan wajah yang ingin digunakan secara rutin.

“Faktor berkenaan ialah jenis dan keadaan kulit. Penting untuk kita tahu kerana setiap jenis dan keadaan kulit mempunyai keperluan berbeza.

“Jenis produk penjagaan wajah yang digunakan perlu memenuhi keperluan berkenaan. Produk yang sesuai untuk setiap jenis kulit akan memastikan keseimbangan kulit dapat dicapai.

“Kulit yang seimbang dan sihat tampil lebih segar selain membantu memberikan keselesaan kepada diri sendiri,” katanya.

Terdapat empat jenis kulit yang perlu diketahui iaitu kering, normal, kombinasi dan berminyak. Setiap jenis kulit itu mempunyai cirinya yang tersendiri, antaranya:

1. Kulit kering

Ciri-cirinya:

• Pori tidak kelihatan.

• Kulit kelihatan kering dan kusam.

• Kulit terasa agak kasar apabila disentuh.

• Kulit jenis ini memerlukan produk yang mampu memberi lebih lembapan. Pencuci dan pelembap untuk kulit kering lebih pekat. Penyegar yang digunakan sepatutnya tidak mengandungi alkohol yang tinggi kerana boleh menyebabkan kulit bertambah kering.

• Sebaik-baiknya, pupur yang digunakan juga tidak mengandungi bahan untuk menyerap minyak seperti tanah liat.

2. Kulit normal

Ciri-cirinya:

• Pori bersaiz sederhana atau kurang jelas.

• Kulit nampak segar, tidak terlalu kering mahupun berminyak.

• Kulit terasa lembut dan licin apabila disentuh.

• Kulit jenis normal mudah dijaga. Penjagaan yang diperlukan adalah bagi memastikan keseimbangan pada kulit tidak hilang. Bagaimanapun, pemilik jenis kulit ini juga perlu berhati-hati agar tidak terdedah kepada penggunaan produk berkimia keras kerana kulit normal juga boleh menjadi sensitif.

3. Kulit kombinasi

Ciri-cirinya :

• Pori jelas kelihatan di bahagian zon-T (dahi, hidung dan dagu) serta tiada atau kurang jelas di bahagian lain.

• Kulit kelihatan lebih berminyak di zon-T.

• Disebabkan kulit kombinasi mempunyai dua keadaan berbeza iaitu berminyak dan kering, ia memerlukan produk yang mengandungi bahan yang dapat mengurangkan minyak berlebihan, pada masa sama tidak mengeringkan.

4. Kulit berminyak

Ciri-ciri :

• Pori bersaiz besar dan jelas kelihatan di seluruh wajah.

• Kulit juga kelihatan berminyak dan melekit apabila disentuh.

Produk penjagaan bagi kulit berminyak biasanya berasaskan gel dan bertekstur ringan untuk mengurangkan minyak serta tidak akan menyesakkan pori yang sentiasa penuh dengan minyak.

Penyegarnya perlu mengandungi alkohol untuk membantu mengurangkan minyak berlebihan. Pupur wajah perlu mengandungi tanah liat yang memang diketahui sangat berkesan untuk menyerap minyak.

Selepas jenis kulit dikenal pasti, langkah seterusnya adalah untuk mengenal pasti keadaan kulit. Antara keadaan kulit yang biasa dialami oleh wanita Asia ialah:

1. Kulit sensitif - warna kulit wajah agak cerah dan kemerahan berbanding kulit bahagian lain pada tubuh. Mudah terasa sakit, perit atau gatal apabila terdedah kepada matahari atau suhu pendingin hawa yang sangat sejuk.

Ia biasanya disebabkan oleh faktor luaran seperti udara, persekitaran dan air tercemar atau penggunaan produk yang mengandungi bahan kimia keras atau terlarang.

2. Jerawat - sama ada bintik hitam atau bintik putih, jerawat bersaiz kecil atau sederhana dan ada jarak di antara satu sama lain atau jerawat yang besar, kemerahan dan rapat di antara satu sama lain.

Ia boleh disebabkan oleh pelbagai faktor seperti pori tersumbat, penjagaan kulit yang tidak sempurna, perubahan hormon dan pengambilan ubat.

3. Penuaan - terdapat garis halus, kedutan, kulit mengendur dan kusam, biasanya disebabkan oleh faktor umur. Namun, terdapat juga kes disebabkan oleh penjagaan kulit yang tidak sempurna.

4. Pigmentasi - terdapat bintik atau tompokan berwarna coklat gelap. Ia boleh disebabkan toksin dalam badan, gangguan hormon, pengambilan ubatan, terdedah kepada sinar matahari atau penuaan.

Merawat masalah kulit

Dalam apa juga keadaan, kulit sensitif harus diberi perhatian dan dirawat terlebih dulu. Ini kerana kulit sensitif mudah merengsa.

“Krisis pemulihan akan lebih serius dan ketara sekiranya kulit sensitif. Seelok-eloknya, kulit dibiarkan ‘berehat’ sekurang-kurangnya seminggu sebelum menukar daripada satu jenama produk penjagaan kulit ke jenama lain supaya iritasi dapat dikurangkan.

“Kulit sensitif biasanya kering dan nipis. Ia tidak boleh bertoleransi dengan penggunaan formula yang terlalu maju seperti produk untuk mencerahkan kulit atau antipenuaan,” katanya.

Dinasihatkan kepada mereka yang berkulit sensitif agar menggunakan rutin penjagaan kulit asas yang mengandungi antioksidan untuk menguatkan dan mengembalikan ketebalan kulit yang sebenar.

Rutin asas harian adalah mencuci dan melembapkan wajah. Elakkan daripada menggunakan penyegar yang tinggi kandungan alkohol.

Selain itu, elakkan penggunaan bahan sental atau pupur wajah kerana fungsi menanggalkan sel kulit mati dalam produk ini akan menipiskan lagi kulit.

“Selepas kulit sihat dan tiada lagi kemerahan serta keradangan, barulah boleh merawat keadaan lain pada kulit. Keadaan kedua yang patut dipulihkan selepas kulit sensitif ialah jerawat.

“Jerawat biasanya terdapat pada kulit berminyak. Selain menggunakan produk penjagaan asas yang sesuai untuk kulit berminyak, produk tambahan untuk membunuh bakteria serta mengeringkan jerawat perlu ditambah dalam rutin penjagaan harian.

“Bahan yang biasa digunakan untuk merawat jerawat ialah benzoil peroksida, asid salisilik, asid alfa hidroksi dan sulfur. Jerawat juga boleh terjadi pada kulit kombinasi iaitu di bahagian yang berminyak,” katanya.

Ujarnya, ramai yang keliru mengenai keadaan itu. Apabila terdapat jerawat di muka, ramai yang merumuskan kulit mereka jenis berminyak sekali gus memilih menggunakan produk untuk kulit jenis itu.

Pada awalnya memang akan nampak seperti masalah sudah selesai, tapi untuk jangka masa panjang, kulit akan mula mengering dan masalah lain pula akan timbul.

Permukaan kulit yang terlalu kering akan menggalakkan kelenjar minyak untuk menghasilkan lebih banyak minyak hingga menimbulkan kulit yang kering, tapi pori terbuka besar dan tersumbat. Masalah jerawat akan berulang semula.

Individu yang berkulit kombinasi dan berjerawat perlu menggunakan produk penjagaan asas yang sesuai untuk kulit kombinasi dengan penambahan krim khas untuk jerawat.

“Kulit mengalami penuaan apabila penghasilan kolagen dan proses pembaharuan sel kulit semakin perlahan. Keadaan ini memerlukan produk khusus yang mengandungi vitamin A,C dan E untuk mengembalikan kelembapan, kesegaran serta ketegangan pada kulit.

“Selain penjagaan asas, rutin penjagaan kulit harian juga perlu ditambah dengan serum bagi mempercepatkan proses pembaharuan sel kulit dan mengembalikan keremajaannya,” katanya.

Jelasnya, bagi keadaan kulit yang mengalami keadaan pigmentasi sebaiknya dapatkan kepastian terlebih dulu puncanya. Produk penjagaan kulit hanya membantu merawat dari luar untuk mengurangkan kesan gelap dihasilkan melanin.

Namun, jika punca penghasilan melanin yang berlebihan itu disebabkan oleh toksin dalam badan, pengambilan ubat atau hormon yang tidak stabil, penggunaan produk penjagaan dari luar saja tidak mencukupi.

Rawatan dari dalam perlu dibuat terlebih dahulu. Jika pigmentasi disebabkan oleh terdedah kepada sinar UV yang berpanjangan, produk yang mengandungi perlindungan SPF sekurang-kurangnya SPF30 amat diperlukan bagi mengelakkan pigmentasi bertambah teruk dan memastikan ia tidak berulang.

Pigmentasi hanya boleh dipudarkan dan tidak boleh lenyap 100 peratus. Produk yang merawat pigmentasi perlu mengandungi bahan semula jadi yang tinggi vitamin C serta mampu mencerahkan kesan melanin tanpa menghakis.

“Perlu berhati-hati apabila memilih produk di pasaran. Terdapat banyak produk yang menjanjikan hasil yang pantas tetapi menghakis kulit tanpa disedari. Kulit akan kelihatan cantik pada mulanya tetapi untuk jangka masa panjang, ia bertukar menjadi sensitif dan rosak.

“Rujuklah kepada pakar kulit, perunding kecantikan bertauliah atau mereka yang berpengetahuan untuk mendapatkan khidmat nasihat mengenai kulit serta cara penjagaan yang paling sesuai dan selamat,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/node/210269

No comments:

Post a Comment