Monday, May 22, 2017

Kementerian Kesihatan dapati bahan terlarang dalam kosmetik beri kesan negatif

KUALA LUMPUR 2 Mei – Tindakan Kementerian Kesihatan menarik balik beberapa produk kecantikan daripada pasaran selepas disahkan mengandungi bahan terlarang termasuk raksa, hydroquinone, tretinoin, asid azelaik dan betamethasone sepatutnya membuka mata pengguna supaya lebih berhati-hati ketika memilih produk.

Tidak dinafikan produk berasaskan bahan semulajadi dan organik mungkin mengambil masa lebih lama untuk menampakkan hasilnya berbanding produk yang mengandungi bahan kimia seperti itu, namun mengapa harus memperjudikan kesihatan sendiri demi kecantikan sementara.

Apa yang membimbangkan, dengan lambakan pelbagai jenis produk kosmetik dan kecantikan di pasaran, pengguna mungkin tidak sedar barangan tersebut tidak selamat digunakan, mengandungi racun berjadual dan tidak mendapat kelulusan daripada kementerian.


Salah satu cara mudah untuk mengenal pasti produk berkenaan diperbuat daripada bahan berbahaya adalah dengan menyemak senarai kosmetik yang dikeluarkan oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK).

Menurut Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr. Zubaidi Ahmad, ramai wanita di Malaysia tidak menyedari produk yang mereka gunakan mengandungi raksa yang boleh memberi kesan negatif kepada tubuh pada jangka masa panjang.

Jelasnya, keracunan raksa merupakan suatu penyakit disebabkan oleh pendedahan dan pengumpulan sebatian itu dalam tubuh dalam tempoh lama yang boleh menyebabkan kerosakan saraf terutama pada tangan iaitu pesakit akan mengalami rasa gatal dan terbakar pada kulit.

“Pesakit juga boleh berasa lemah, emosi tidak stabil dan mengalami masalah ingatan yang kurang baik. Ada juga yang menghadapi tanda-tanda menggigil, letih, pening serta menyebabkan kulit bertukar menjadi pudar atau kelabu.

“Raksa menghalang pengurai­an biokimia catecholamines dalam badan, menyebabkan pengumpu­lan epinephrine (hormon seper­ti adrenalin). Pesakit akan me­ngalami perpeluhan luar biasa dan adakalanya menyebabkan degupan jantung bertambah laju serta tekanan darah menjadi tinggi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Tambah Dr. Zubaidi yang juga doktor kanan di Kumpulan Perubatan Penawar Sdn. Bhd., kandu­ngan raksa dalam produk kosmetik seharusnya lebih rendah daripada satu per sejuta iaitu 0.0001 peratus dengan syarat tiada bahan lain yang boleh menggantikan fungsi raksa dalam produk berkenaan.

“Raksa adalah bahan yang sa­ngat mudah meresap ke dalam kulit apabila disapu, oleh itu mereka yang pernah mengamalkan produk kosmetik pemutihan kulit muka disarankan memeriksa kandungan raksa dalam darah mereka.

“Salah satu cara mengesan raksa dalam produk yang kita gunakan adalah dengan menyapu krim tersebut di tapak tangan dan gosokkan barang kemas diperbuat daripada emas. Jika produk ada raksa, warna krim itu akan bertukar menjadi kelabu. Semakin gelap, semakin banyak kandungan raksa,” katanya.

Beliau seterusnya menasihatkan pengguna agar menyemak label pada produk kosmetik dan memastikan pengeluarnya adalah syarikat yang berintegriti supaya tidak tertipu dengan keinginan untuk cepat putih.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kementerian-kesihatan-dapati-bahan-terlarang-dalam-kosmetik-beri-kesan-negatif-1.307570#ixzz4hsKo2ZBh 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment